Terus Berjanji Taknak Tinggal Sarapan Dah. Huhu

Tahukah anda pengambilan sarapan bukan sahaja memberikan tenaga harian, malahan terdapat juga bukti menunjukkan bahawa pengambilan sarapan membantu mengurangkan risiko penyakit kencing manis atau diabetis melitus jenis 2.

Diabetes adalah penyakit kronik yang kekal akan kekal seumur hidup. Sekiranya penyakit diabetis tidak dikawal ia akan membawa kepada komplikasi serius termasuk serangan jantung, kegagalan fungsi jantung, kemusnahan buah pinggang, penyakit mata, kerosakan saraf dan ulser sehingga membawa kepada amputasi kaki.

Kajian menunjukkan seramai 2.6 juta orang dewasa di Malaysia menghidap diabetis akibat amalan gaya hidup yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal.

Menurut Pakar Perunding Endokrinologi, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Norlaila Mustafa, trend rakyat Malaysia tidak mengambil sarapan semakin merisaukan.

“Tabiat mengambil atau meninggalkan sarapan boleh memberi kesan terhadap risiko diabetis.

“Secara asasnya pengambilan sarapan berfungsi untuk menghindarkan kelaparan dan membantu mengelakkan seseorang terlebih makan pada waktu kemudian.

“Ini akan menggalakkan seseorang mengambil makanan pada kadar sepatutnya dan membantu mengurangkan risiko obesiti,” katanya semasa menghadirkan diri dalam taklimat media anjuran Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS).

Katanya lagi, pengambilan sarapan juga memberi kesan psikologi yang positif dengan kajian yang menunjukkan wanita yang mengambil sarapan akan mempunyai tahap rintangan insulin dan kolesterol yang lebih rendah.

“Tahap kolesterol yang rendah mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung. Berkenaan rintangan insulin, ia merupakan keadaan di mana hormon tidak mampu untuk membawa glukosa ke dalam sel badan secara berkesan.

“Keadaan ini menyebabkan sel badan kelaparan sementara glukosa berkumpul dalam darah dan memusnah segala saluran darah .

“Jika keadaan dibiarkan berterusan lama-kelamaan insulin ini akan menyebabkan diabetis,” ujarnya.

Kata Norlaila lagi, penemuan juga menunjukkan sama ada kanak-kanak mahupun dewasa yang mengambil sarapan mempunyai berat badan dan kandungan lemak yang lebih baik lantas mengurangkan risiko penyakit kardiavaskular.

“ Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mengambil bijirin sarapan tinggi serat mempunyai rintangan insulin yang lebih rendah berbanding mereka yang mengambil jenis makanan lain,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi beberapa tip pengambilan sarapan yang sihat bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit diabetes.

“Seeloknya ambil sarapan dalam tempoh sejam atau selepas berjalan, dan elakkan mengambil sarapan yang lewat.

“Makan makanan yang tinggi protein kerana kandungan serat yang tinggi membantu kita kurang rasa lapar dalam tempoh yang lama.

“Tambah buahan dan sayuran seperti pisang dalam bijirin dan lada benggala dalam omelette. Elakkan mengambil pastri, makan makanan manis seperti donut dan mufin ketika bersarapan. Makanan ini membuatkan kita berasa cepat lapar. Banyakkan juga minum air kosong setiap hari,” jelasnya.

Sementara itu, Pakar perunding Endokrinologi yang juga Pengerusi Penganjur Hari Diabetis Sedunia 2014, Datuk Dr. Mohamed Badrulnizam Long Bidin berkata, MEMS ingin menggalakkan orang ramai untuk menyahut cabaran mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat untuk menikmati kehidupan yang bebas dari diabetes

“Ia bukanlah sukar tetapi memerlukan usaha untuk ingin berubah ke arah yang lebih baik.

“Orang ramai digalakkan untuk menyertai Larian dan Jalan Kaki Amal Hari Diabetes Sedunia yang akan diadakan pada 9 November pada jam 7.30 pagi di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur.

“ Program ini merupakan larian dan jalan kaki amal kali ketiga. Kami berharap untuk menarik lebih ramai peserta tahun ini kerana acara berkenaan menjanjikan hari yang menyeronokkan kepada seluruh keluarga,” katanya.

Sumber : UTUSAN

One Reply to “Terus Berjanji Taknak Tinggal Sarapan Dah. Huhu”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge