Anak Demam Apa Yang Harus Dilakukan

Anak Demam Apa Yang Harus Dilakukan

Sebagai ibubapa, kita pastinya risau apabila melihat anak demam apatah lagi jika suhu badan yang direkodkan sangat tinggi dan anak yang sebelum ini riang-ria dan gembira menjadi letih dan kurang bermaya. Lebih merisaukan sekiranya anak tersebut pernah mendapat penyakit yang serius sebelum ini.

Tanda-tanda yang menunjukkan kemungkinan anak menghadapi penyakit yang serius:

1) Kulit yang pucat, berpetak-petak (‘mottled skin’)

2) Anak menjadi kurang aktif serta menunjukkan gerakbalas yang perlahan apabila dipanggil, menangis dalam keadaan yang lemah ataupun dengan nada tangisan yang tinggi seperti tidak selesa.

3) Kesukaran untuk bernafas, samada nafas yang laju ataupun nafas berbunyi.

4) Tidak makan atau minum seperti biasa.

5) Tanda kekeringan yang serius seperti kurang kencing serta bibir dan lidah yang sangat kering.

6) Demam yang melebihi 5 hari.

7) Suhu badan yang terlalu tinggi ; melebihi 38C untuk bayi kurang dari 3 bulan dan suhu melebihi 39C untuk anak-anak yang berumur antara 3-6 bulan

8) Bengkak sendi dan angggota badan

9) Bengkak ubun-ubun untuk bayi kurang dari umur 1 tahun.

10) Sawan

Jika anak menunjukkan tanda-tanda di atas, segeralah ke hospital yang terdekat untuk pemeriksaan.

Bagi anak-anak yang demam tetapi masih lagi aktif bermain, makan dan minum seperti biasa dan tiada tanda-tanda seperti di atas, penjaga bolehlah memantau anak-anak ini di rumah dengan mengikuti beberapa nasihat seperti :

a) memastikan anak-anak mendapat hidrasi yang mencukupi semasa demam kerana semasa demam badan akan kehilangan banyak air dan tenaga. Jadi sila pastikan anak-anak ini diberi minuman yang mencukupi dan digalakkan untuk memberi susu lebih banyak daripada biasa.

b) penjaga mesti mengetahui tanda-tanda dehidrasi (kekurangan air dalam badan); mata mencengkung, bibir/mulut yang kering, ubun-ubun yang cengkung, menangis tanpa air mata serta anak letih dan kelihatan lembik..

c) Ibubapa mestilah memeriksa keadaan anak dengan kerap dan mereka tidak digalakkan menghadiri kelas di tadika/sekolah seperti biasa.

d) sekiranya naik ruam , segeralah berjumpa doktor.

Penggunaan ubat pelega-demam (‘antipyretic’) adalah dikhususkan untuk anak-anak yang mengalami demam yang tinggi dan dalam keadaan tidak selesa (‘distressed’). Buat masa sekarang, ubat-ubat yang biasa digunakan sebagai agen untuk mengurangkan ataupun menurunkan suhu badan adalah paracetamol dan ibuprofen. 

Pengunaan ubat-ubat ini memerlukan nasihat daripada doktor kerana ubat-ubat ini jika digunakan terlalu kerap atau dalam dos yang salah boleh memudaratkan kesihatan kanak-kanak.
Info from > DoktorBudak.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge