Apa perlu dilakukan bila anak kerap demam

Apa perlu dilakukan bila anak kerap demam

Arreessa demam.. lepas tu Maryam pulak demam. Berturut turut budak budak ni demam. Musim nampak gayanya. Sekarang pun musim hujan. kenap panas..kejap hujan lebat. Terkana hujan sikit dah demam. Rasanya zaman Ainul kecik siap mandi hujan lagi.. kekadang demam jugak.hehe

Alhamdulillah Arreessa & Maryam jarang demam. Demam kali ni pun kejap je. Lega sangat. yang risau bila demam lama. takut sangat denggi. Minta dijauhkan la ya ALLAH

Apa perlu dilakukan bila anak kerap demam ?

Ni info dari DoktorBudak

Q: Apabila anak demam, apakah yang sepatutnya dilakukan? Saya mendapat banyak nasihat dan ada antaranya bercanggah. Ada yang suruh balut anak dengan tuala basah, ada yang tegah cara ini, kononnya anak akan karam panas. Ada juga yang mencadangkan bagi anak tidur di bilik berhawa dingin atau depan kipas untuk turunkan suhu tapi ada juga yang suruh tutup kipas bagi peluh keluar untuk kebah demam. Jadi, apakah langkah yang doktor syorkan apabila anak demam? Terima kasih. (AE)

A:

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Puan,

Demam merupakan salah satu sebab utama kemasukan kanak-kanak ke wad. Malah, dianggarkan antara 20-40% kanak-kanak mengalami masalah demam setiap tahun.

Biasanya, demam dikaitkan dengan masalah jangkitan kuman yang boleh membahayakan kesihatan kanak-kanak. Walaubagaimanapun, kebarangkalian demam yang disebabkan oleh jangkitan kuman yang serius adalah kecil dan pada kebanyakan masa, demam seringkali disebabkan oleh jangkitan virus. Sistem pertahanan atau antibodi badan kanak-kanak itu sendiri akan cuba melawan jangkitan virus tersebut dan ia biasanya akan baik dengan sendirinya (‘self limiting’). Secara amnya, suhu badan yang melebihi 37.5 °C adalah demam. 


Walaubagaimanapun, sebagai ibubapa, kita pastinya risau apabila melihat anak demam apatah lagi jika suhu badan yang direkodkan sangat tinggi dan anak yang sebelum ini riang-ria dan gembira menjadi letih dan kurang bermaya. Lebih merisaukan sekiranya anak tersebut pernah mendapat penyakit yang serius sebelum ini.

Oleh itu, ibubapa hendaklah mengetahui tanda-tanda yang menunjukkan kemungkinan anak menghadapi penyakit yang serius:

1) Kulit yang pucat, berpetak-petak (‘mottled skin’)

2) Anak menjadi kurang aktif serta menunjukkan gerakbalas yang perlahan apabila dipanggil, menangis dalam keadaan yang lemah ataupun dengan nada tangisan yang tinggi seperti tidak selesa.

3) Kesukaran untuk bernafas, samada nafas yang laju ataupun nafas berbunyi.

4) Tidak makan atau minum seperti biasa.

5) Tanda kekeringan yang serius seperti kurang kencing serta bibir dan lidah yang sangat kering.

6) Demam yang melebihi 5 hari.

7) Suhu badan yang terlalu tinggi ; melebihi 38C untuk bayi kurang dari 3 bulan dan suhu melebihi 39C untuk anak-anak yang berumur antara 3-6 bulan

8) Bengkak sendi dan angggota badan

9) Bengkak ubun-ubun untuk bayi kurang dari umur 1 tahun.

10) Sawan

Jika anak menunjukkan tanda-tanda di atas, segeralah ke hospital yang terdekat untuk pemeriksaan.

Bagi anak-anak yang demam tetapi masih lagi aktif bermain, makan dan minum seperti biasa dan tiada tanda-tanda seperti di atas, penjaga bolehlah memantau anak-anak ini di rumah dengan mengikuti beberapa nasihat seperti :

a) memastikan anak-anak mendapat hidrasi yang mencukupi semasa demam kerana semasa demam badan akan kehilangan banyak air dan tenaga. Jadi sila pastikan anak-anak ini diberi minuman yang mencukupi dan digalakkan untuk memberi susu lebih banyak daripada biasa.

b) penjaga mesti mengetahui tanda-tanda dehidrasi (kekurangan air dalam badan); mata mencengkung, bibir/mulut yang kering, ubun-ubun yang cengkung, menangis tanpa air mata serta anak letih dan kelihatan lembik..

c) Ibubapa mestilah memeriksa keadaan anak dengan kerap dan mereka tidak digalakkan menghadiri kelas di tadika/sekolah seperti biasa.

d) sekiranya naik ruam , segeralah berjumpa doktor.

Tidak dinafikan ada beberapa kaedah yang biasa dilakukan oleh ibubapa terdahulu untuk mengurangkan atau meredakan demam. Kajian menunjukkan kaedah seperti mengelap badan anak-anak yang demam dengan tuala basah, membuka baju dan seluar anak, membungkus anak-anak dan mendedahkan badan anak dengan udara yang sejuk samada dari alat hawa dingin atau kipas adalah tidak berkesan dan mungkin membahayakan lagi anak-anak yang demam itu.

Contohnya, dengan menggunakan alat hawa dingin atau ais untuk menurunkan suhu badan, ini sebenarnya akan menyebabkan anak-anak menggigil dan secara langsung menaikkan suhu badan (‘core temperature’) dan menyebabkan demamnya menjadi lebih tinggi dan lebih sukar dirawat.

Penggunaan ubat pelega-demam (‘antipyretic’) adalah dikhususkan untuk anak-anak yang mengalami demam yang tinggi dan dalam keadaan tidak selesa (‘distressed’). Buat masa sekarang, ubat-ubat yang biasa digunakan sebagai agen untuk mengurangkan ataupun menurunkan suhu badan adalah paracetamol dan ibuprofen. Pengunaan ubat-ubat ini memerlukan nasihat daripada doktor kerana ubat-ubat ini jika digunakan terlalu kerap atau dalam dos yang salah boleh memudaratkan kesihatan kanak-kanak.

Editor’s note: Sekiranya bayi anda masih sangat kecil ( 0 – 6 bulan ) mempunyai demam, harus mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor segera.

One thought on “Apa perlu dilakukan bila anak kerap demam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge